History

mY sChOoL sMk BiNtULu

Sekolah Menengah Kebangsaan Bintulu (SMKB) merupakan sekolah yang terawal yang dibinakan di Bintulu pada tahun 1962 dengan bantuan kewangan daripada Kerajaan New Zealand di bawah rancangan Colombo. Nama asal SMKB ialah Bintulu Goverment Secondary School (BGSS), seterusnya Sekolah Menengah Kebangsaan Bintulu. Pengetua SMKB yang pertama ialah Encik Mator Munir. Kemudian, pada tahun 1964, sekolah ini telah dipindah ke tapak sekarang yang dahulunya bertempat di bangunan kerajaan yang tidak digunakan lagi, berdekatan dengan Hospital Besar Bintulu (kiri - Klinik Kerajaan Bintulu).

Dari semasa ke semasa, terdapat pelbagai aktiviti pembaharuan yang dijalankan. Rumah perguruan telah dibina dan bilik guru 1 mula digunakan pada tahun 1971. Berek-berek penginapan untuk para guru dan kakitangan, asrama dan gelanggang bola jaring juga dibina.

Namun demikian,tidak semua impian menjadi kenyataan. Suatu kebakaran telah berlaku di blok pentadbiran dan bilik guru. Berhubung dengan peristiwa itu, sebidang tanah seluas 3.45 ekar telah diberikan kepada SMKB untuk tujuan pembesaran dan pembangunan semula. Manakala kawasan seluas 0.65 telah digunakan untuk pembinaan Pejabat Pelajaran Gabungan Bintulu.

Pada tahun 1984, projek pembangunan semula SMKB mula dijalankan dalam empat fasa iaitu penubuhan Pancaragam Sekolah, Kelab Catur, Kelab Kadet Tentera, Electirc Band dan lain-lain lagi. Lima tahun kemudian, sebuah bangunan sekolah KBSM atau kini dikenali sebagai Blok D telah dibina. Selain itu, tempat letak kereta guru dan lukisan mural di dinding-dinding bangunan sekolah disiapkan. Koperasi SMKB hasil cetusan idea beberapa orang guru yang diketuai oleh pengetua Nicholas Ugul pula dibina pada tahun 1991. Manakala pada Disember 1992, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ditubuhkan oleh Encik Jolin Antau yang merupakan Yang Dipertua yang pertama. Sebuah bilik Lukisan Kejuruteraan telah dibina di tingkat bawah Blok D bagi para pelajar yang mengambil subjek Lukisan Kejuruteraan.

Pelancaran ‘Mini Raffles’ diadakan bagi mengutip derma untuk pembinaan pintu gerbang sekolah dan juga laluan pejalan kaki berbumbung pada tahun yang sama. Projek ini telah siap dan mula digunakan pada tahun 1995. Di samping itu, jejantas juga dibina yang dibiayai oleh Kelab Rotarian. Manakala pada tahun 2003, sebuah makmal komputer telah dibina. PIBG juga membantu SMK Bintulu melaksanakan projek Jalur Gemilang yang terpanjang di Bintulu dan dirasmikan pada 30 Ogos 2003 di Dewan Cenderawasih. Pada tahun yang sama juga, bangunan-bangunan lama dicat semula agar tampak baru dan bersih. kebersihan juga penting bagi menjaga imej sekolah.

Kini, SMKB merupakan sekolah yang terbesar di Sarawak. Pelbagai usaha dan langkah telah dijalankan bagi mengekalkan keistimewaannya sebagai sekolah yang berprestij dan terkenal di seluruh Sarawak. Walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan, segala kemajuan dan kejayaan dapat digapai, terima kasih kepada semua pihak yang sanggup mengorbankan masa dan tenaganya demi sekolah ini.

Akhir kata, semoga SMKB kekal teguh dan tetap menjadi inspirasi mahupun kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh para pelajar, guru dan para pekerja.